ACTIVITIES
Kunjungan Silaturahim UPNM
UIA Gombak,22 Oktober- Ma’ruf Club berbesar hati menerima kunjungan sahabat-sahabat daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM) hari ini. Seramai 15 orang wakil dari UPNM diketuai Pengerusi Badan Dakwah dan Kerohanian, Mohamad Yaakob bin Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi, Habibah bt Omar Buang tiba di UIA lebih kurang pukul 2.30 petang.
Rombongan mereka disambut oleh barisan kepimpinan Ma’ruf Club terdiri daripada Timbalan Presiden 2, Nurul Zahidah bt Mohd Zan, Ketua Unit Multimedia, Mohd Syaufiq Abd Latif, Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah, Mohd Arubi Ismail serta Timbalan Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah, Masturah binti Mohamed Makki. Turut hadir bagi meraikan kunjungan silaturahim ini ialah Presiden Ma’ruf Club, Mohd Eikhwan Mohd Ali.
Pertemuan petang itu diisi dengan perkongsian bermanfaat tentang kaedah-kaedah dakwah yang boleh dilaksanakan di peringkat universiti serta pelaksanaan dakwah yang boleh dibawa oleh Badan Dakwah dan Kerohanian UPNM. Persoalan mengenai sistem dakwah yang berkesan turut diberi perhatian dalam perbincangan tersebut. Di samping itu, UPNM menzahirkan hasrat mulia mereka untuk memperkenalkan suasana Islam di kampus seperti menghidupkan aktiviti usrah di kalangan pelajar.
Ma’ruf Club mengucapkan tahniah kepada generasi pemula dari UPNM yang memiliki jiwa yang cenderung kepada islam. Ma’ruf Club turut menitipkan nasihat buat sahabat-sahabat UPNM supaya bersabar dan istiqomah dalam menjalankan dakwah kerana sesungguhnya janji Allah itu pasti.
Pertemuan berakhir pada pukul 5.10 petang. Diharapkan kunjungan ini bukanlah yang terakhir, tetapi permulaan kepada kunjungan seterusnya yang akan mengeratkan lagi ukhwah sesama saudara yang berkongsi matlamat yang sama.
Laporan oleh Mardhiyyah Johari dan Siti Aisyah Mat Said











