Wanita : Apa peranannya?

0
comments
kumpulan-koleksi-kartun-gambar-bidadari-cantik-imut-lucu-menggemaskan-gemas-akhwat-muslim-muslimah-islami-islam-hijab-cartoon-girl-gadis

Memperkasakan peranan wanita. Itulah tema yang diberikan pada bengkel penulisan yang lepas. Jika dilihat kepada tema yang diberikan, agak mencabar bagi saya untuk membincangkan isu ini. Sebagai seorang pelajar yang masih mentah, ini hanyalah pendapat yang tidak seberapa dari saya.

Sedia maklum, tanggapan pertama orang apabila menyebut tentang peranan wanita ialah pastinya peranan mereka di dalam keluarga. Sehingga sering saya dengar terutamanya daripada mulut-mulut orang yang lebih dewasa, “Perempuan belajar tinggi pun tempatnya di dapur juga.” Ya, tidak saya nafikan kebenaran yang diperkatakan oleh mereka. Tetapi mereka harus memandang daripada perspektif yang berbeza.

Jika kita lihat, seorang wanita yang berjaya dalam akademik seterusnya yang bekerja juga mampu menjalankan tugas mereka di dapur dengan baik. Apa salahnya mereka hebat bukan sahaja di mata keluarga malah hebat di persada kerjaya. Peranan wanita perlu diperkasakan dengan memberikan sepenuh ruang dan peluang kepada mereka untuk mencapai apa yang diimpikan dalam hidup mereka selagi bertepatan dengan syariat.

Ramai yang berpendapat bahawa, seorang wanita yang bekerjaya itu tidak mampu untuk mengurus keluarga dengan baik. Bagi saya, itu adalah mengenai sikap individu itu sendiri. Ia bertitik tolak pada individu itu sendiri bagaimana mereka menguruskan diri dan masa dengan baik untuk memastikan semua yang dirancang dan setiap perkara yang perlu dilakukan itu dapat diselesaikan dengan baik. Jangan hanya nila setitik rosak susu sebelanga. Setiap orang ada kemampuan mereka yang tersendiri dalam mendepani dan menangani sesuatu keadaan.

Sekarang, saya akan membahaskan tentang peranan wanita dalam keluarga yang dipetik di dalam risalah tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi. Yang pertama, jika seorang wanita itu seorang anak maka diwajibkan ke atas mereka untuk mentaati kedua ibubapa mereka selagi ibubapa mereka tidak menyimpang dari ajaran Islam. Dan Islam menganjurkan kepada mereka dengan cara yang sopan dan bijaksana untuk membawa ibubapa mereka kembali ke pangkal jalan.

Yang kedua, jika seorang wanita itu seorang isteri maka wajib baginya untuk membantu suaminya menjalankan perintah Allah, mencari rezeki yang halal, menerima dan mensyukuri apa yang dimilikinya dengan penuh kesabaran dan ketaatan sepertimana Siti Khadijah isteri Nabi Muhammad S.A.W.

Yang seterusnya, jika wanita itu seorang ibu sudah menjadi tanggungjawab baginya untuk mendidik anak-anak taat kepada Allah, iaitu dengan menjauhi laranganNya dan menjalankan perintahNya, serta taat kepada kedua orang tuanya. Sebagaimana Aminah ialah ibu kandung Nabi dan Halimatun Saadiah ialah ibu susunya. Nabi bersabda, “Bahawa dia (halimah) adalah ibuku setelah ibuku sendiri.”

Berdasarkan ketiga-tiga peranan tadi jelaslah bahawa wanita mempunyai peranan mereka yang tersendiri di dalam keluarga. Jadi, perlukah lagi kita persoalkan tentang peranan wanita?

Ingin saya tekankan disini berkaitan disebalik kejayaan atau kehebatan seorang lelaki itu ada nya seorang wanita. Tidak kira siapa pun wanita itu. Disebalik kejayaan seorang suami adanya seorang isteri yang sentiasa membantu dan memberikan sokongan dan tidak kurang juga disebalik kejayaan seorang anak adanya seorang ibu yang sentiasa membimbing dan mendidik. Ini menunjukkan betapa seorang wanita itu memainkan peranan yang penting dalam kehidupan ini.

Selain itu, memperkasakan peranan wanita dari pelbagai aspek itu perlu dilakukan dari peringkat akar umbi. Yakni, memupuk keinginan yang kuat dan mengasah bakat para wanita dalam bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan dan kemampuan yang mereka ada. Antara bidang yang boleh diterokai oleh wanita adalah dalam bidang perundangan, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya.

Memetik petikan dalam Agenda Wanita Malaysia, wanita yang berdaya ialah wanita yang hebat dalam gerak laku, rencana kerja dan aturan hidupnya. Sesungguhnya, tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia.

__________________________________

Hasil Nukilan :

Raihan Kassim, Mahasiswa UIAM

 

Share this nice post:

facebook comments:

Leave a reply

     

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>